Khamis, 28 April 2011

HARAPAN

Hidup ini bermula dengan harapan..

Sejak dari kecil sehinggalah menginjak ke alam dewasa, harapan akan sentiasa mengiringi perjalanan hidup.

Bermula dari sebuah kelahiran, kita semua keluar ke dunia, dari rahim seorang ibu, berbekalkan doa dan harapan seorang ibu untuk melihat anak kecil sebesar tapak tangannya itu akan membesar menjadi seorang manusia yang berguna. Kemudian kita diazan/diiqamatkan oleh seorang bapa yang mengharapkan anak kecilnya akan menjaya mengharungi dunia yang penuh cabaran ini dengan penuh kekuatan dan semangat sama seperti besarnya semangatnya untuk mendidik anak kecilnya agar kelak akan menjadi manusia yang hebat dan punya harga diri. Semuanya bermula dengan harapan.Harapan seorang bapa, harapan seorang ibu, harapan seorang suami, harapan seorang isteri, harapan seorang abang, harapan seorang pelajar, harapan seorang perdana menteri. Satu perkataan penuh makna, HARAPAN.

Dengan harapan, terciptalah impian. Terlahirlah sebuah cita- cita. Memang semua orang mengharapkan sebuah harapan, sebuah impian dan sebuah cita-cita akan menjadi kenyataan satu hari nanti. Tetapi harus diingat harapan sahaja tanpa diiringi usaha, semangat dan doa yang kuat tidak akan ke mana –mana. Bila sesekali dugaan datang, jangan patah semangat. Bila sesekali apa yang diusahakan tidak membuahkan hasil yang sepatutnya, jangan mudah mengalah. Teruskan berusaha! Tanpa rasa letih tanpa rasa jemu. Tiada siapa yang meraih kejayaan dengan mudah. Semuanya memerlukan daya usaha yang kuat, pengorbanan yang hebat!

Sama seperti orang lain, aku juga punya harapan. Malah setiap langkah yang aku lalui, setiap udara yang aku sedut, setiap nafas yang aku hembus, aku mengharapkan sebuah kehidupan yang lebih baik. Lebih menyenangkan dan lebih membahagiakan. Di saat aku menunggu bas yang tak kunjung tiba ditambah dengan cuaca yang panas, peluh yang membasahi dahi, aku mengharapkan “cepatlah bas ni datang...”. Di kala aku menunggu tren dalam penuh kesesakan dengan hiruk pikuk orang ramai, aku mengharapkan, “cepatlah tren ni sampai...”. Tanpa sedar, setiap hari kita mempertaruhkan sebuah harapan. Walaupun kadang- kadang apa yang diharapkan tidak sama seperti yang kita dapat, kita tak pernah serik untuk berharap.

Sejak dari kecil, banyak harapan yang aku pertaruhkan. Untuk dapat no 1 dalam kelas..untuk jadi johan dalam pertandingan pidato, syarahan..hoki. Untuk dapat 5A UPSR, 8A PMR, 10A1 SPM, harapan untuk menjadi seorang doktor. Semuanya penuh dengan harapan. Ada sesetengahnya aku berjaya tapi ada sesetengahnya tidak mampu aku realitikan. Aku pernah menangis kesedihan, kecewa bila harapan tidak menjadi kenyataan. Tapi kata mama, yang penting aku dah usaha sehabis mampu, selebihnya kena redha dengan takdir Tuhan. Semakin aku menginjak dewasa, aku mula dapat menerima kenyataan bahawa tak semua perkara yang kita nak, kita akan dapat. Yang penting usaha! Selebihnya doa dan tawakal. Sebab tu, aku tak pernah jemu dan serik mempertaruhkan harapan dalam hidup aku. Sampai sekarang. Sebab aku tahu, Tuhan tahu apa yang terbaik untuk hamba- hambaNya.

Memetik kata-kata seorang lecturer aku, hidup ini perlu berlari. Mengejar apa yang kita mahu. Kalau berjalan, bertatih, kita akan tertinggal di belakang. Oleh itu, mari kita sama- sama berlari mengejar apa yang kita harapkan. Mengubah impian menjadi realiti! Jangan tunggu esok baru nak usaha, jangan tunggu lusa baru nak mula bergerak ke arah cita-cita. Mulakannya hari ini. Setiap saat adalah berharga! Dan selalu ingat, “Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum selagi mereka tidak berusaha mengubahnya”. Allah itu Adil. Memberikan hasil setimpal dengan usaha. Marilah menuju kejayaan! Kejayaan di dunia dan akhirat. InsyaAllah..Aminn..

p/s: to my “mr buncit, selamat menghadapi peperiksaan akhir. Usaha sehabis mampu! InsyaAllah hasilnya pasti setimpal.=)

2 ulasan: